Kehakiman
Cawangan Kehakiman negeri Sarawak ini diketuai oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak. Beliau mengawal selia pentadbiran dan pengendalian semua mahkamah. Kehakiman di negeri Sarawak ini terdiri daripada Mahkamah Tinggi, Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Juvenil, Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak dan Mahkamah Bumiputera.
Mahkamah Tinggi
» Kes-kes Jenayah
Pada amnya, Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes-kes yang membawa hukuman bunuh sampai mati. Khususnya, bidang kuasa Mahkamah Tinggi dalam kes-kes jenayah ini diperuntukkan dalam seksyen 22,26,31 dan 35 dalam Akta Mahkamah Kehakiman, 1964.
» Kes-kes Sivil
Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes-kes yang berkait dengan:
Kes-kes yang membabitkan perceraian dan perkahwinan; admiralti; kes-kes kemuflisan dan syarikat; lantikan dan kawalan penjagaan bayi dan harta mereka; lantikan dan kawalan penjagaan orang kurang upaya dan estet mereka; dan pemberian probet wasiat dan surat pentadbiran. Khususnya, bidang kuasa Mahkamah Tinggi dalam kes-kes sivil diperuntukkan dalam seksyen 23,24,24A,25(termasuk Jadual),25A,28,30,32,33 dan 35 Akta Mahkamah Judikatur,1964.
» Maklumat lanjut berkenaan Mahkamah Tinggi
Mahkamah Sesyen
» Kes-kes Jenayah
Mahkamah Sesyen mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan semua kesalahan selain kesalahan yang boleh dijatuhkan hukuman bunuh sampai mati.
» Kes-kes Sivil
Mahkamah Sesyen mempunyai bidang kausa yang tidak terbatas untuk mendengar semua kes running down, tuan rumah/tuan tanah dan penyewa, dan penderitaan; membicarakan saman-saman lain yang amaun dalam pertikaian itu tidak melebihi RM 250,000; dan dengan persetujuan semua pihak yang terlibat, membicarakan kes-kes yang melebihi RM 250,000 tetapi awardnya terbatas kepada had berkanun RM 250,000 sahaja.
Mahkamah Majistret
» Kes-kes Jenayah
Mahkamah Majistret Kelas Pertama mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan semua kesalahan yang melibatkan tempoh maksimum penjara yang diperuntukkan oleh undang-undang tidak melebihi 10 tahun atau yang boleh dikenakan denda sahaja atau kes-kes yang membabitkan rompakan dan pecah masuk rumah pada waktu malam.
Pada amnya, Majistret Kelas Pertama boleh menjatuhkan hukuman yang dibenarkan undang-undang yang tidak melebihi 5 tahun penjara; denda RM 10,000 dengan sebatan 12 kali; atau gabungan mana-mana hukuman yang tersebut di atas.
Walau bagaimanapun, dalam setengah-setengah kes umpamanya di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Perjudian 1953, Majistret boleh mengenakan denda yang lebih tinggi daripada RM 10,000.
» Kes-kes Sivil
Mahkamah Majistret Kelas Pertama mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan semua tindakan dan kes saman sivil yang amaun dalam pertikaian tidak melebihi RM 25,000.
Mahkamah Syariah
Mahkamah Syariah terletak di bawah kuasa Jabatan Agama Islam Sarawak yang ditubuhkan sebagai jabatan yang berasingan pada tahun 1991. Mahkamah Syariah ini bertujuan untuk mendengar dan memutuskan kes-kes yang berkait dengan perceraian dan pertelingkahan perkahwinan, tuntutan sivil dan harta, hak pengajaan anak dan waris.
Penubuhannya juga untuk mewujudkan kesedaran dan pemahaman tentang undang-undang Islam dan kecemerlangan sistem kehakiman Islam di kalangan masyarakat Islam melalui penerbitan dan penganjuran ceramah-ceramah dan mengadakan kajian semula dari semasa ke semasa terhadap undang-undang dan prosedur Mahkamah Syariah. Mahkamah ini mendengar dan memutuskan kes-kes jenayah seperti zina, hubungan haram dan kesalahan-kesalahan seksual yang lainnya yang dibawa ke mahkamah.
» Ordinan-ordinan Yang Terlaksana untuk Mahkamah Syariah Sarawak
Sejak tahun 1991, enam ordinan yang diluluskan Oleh Dewan Undangan Negeri dan dua kaedah dan peraturan yang diluluskan oleh Majlis Islam Sarawak telah dikuatkuasakan dan dilaksanakan di negeri ini. Ordinan, kaedah dan peraturan itu terdiri daripada Ordinan Mahkamah Syariah, 1991, Ordinan Undang-Undang Keluarga Islam, 1991, Ordinan Acara Mal, 1991, Kanun Acara Jenayah, 1991, Ordinan Keterangan Syariah, 1991, Ordinan Kesalahan Jenayah Syariah, 1991, Kaedah Peguam Syarie, 1992 dan Kaedah-Kaedah Prosiding Suami Isteri, 1992.
Menurut Seksyen 10 dan 1, Ordinan Mahkamah Syariah, 1991, Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa dalam perkara-perkara jenayah, mendengar dan memutuskan apa-apa salah laku di bawah Ordinan Majlis Islam(Perbadanan), Ordinan Kesalahan Jenayah Syariah, 1991, Ordinan Undang-Undang Keluarga Islam, 1991 atau mana-mana undang-undang bertulis di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Mahkamah Bumiputera
Mahkamah Bumiputera mentadbirkan Sistem Mahkamah Bumiputera dan menguatkuasakan Adat Bumiputera. Kaedah-Kaedah Mahkamah Bumiputera (1993) menggariskan panduan yang piawai tentang cara pelaksanaan prosiding dan prosedur kes-kes perlu dikendalikan.
Ibu pejabat Mahkamah Bumiputera terletak di Bangunan Sri Muhibah, Jalan Taman Budaya, Kuching. Seorang Ketua Pendaftar yang menjadi Ketua pentadbir Mahkamah Bumiputera mengawal selia semua Pendaftar, yang terdiri daripada Pegawai Daerah dan Pegawai Tadbir Sarawak selaku pegawai penguasa di daerah-daerah kecil.
Setakat ini sejumlah 58 orang Pendaftar telah dilantik untuk menerima tuntutan, aduan, rayauan, permohonan, pembayaran yuran, denda, menyimpan semua rekod mahkamah tentang kes-kes di kawasan masing-masing dan mengemukakan laporan prosiding. Ketua Pendaftar, Pendaftar dan semua Pegawai Mahkamah bawahan bertanggungjawab untuk mengambil tindakan daripada arahan khas Setiausaha Kerajaan.
» Kegiatan/Peranan Mahkamah Bumiputera di Sarawak
Pelaksanaan Sistem baru Mahkamah Bumiputera melibatkan kegiatan atau peranan yang berikut:
| a. | Pentadbiran Pendaftaran. |
| b. | Pengelolaan kursus dan seminar untuk Pegawai Mahkamah dan Majistret, Pegawai Prosiding, Ketua Masyarakat, Ketua Kampung, dan semua pegawai penting yang mentadbirkan Mahkamah. |
| c. | Percepat penyelesaian kes-kes – kes sivil dan kes yang melibatkan kesalahan kerana melanggar adat. |
| d. | Berikan nasihat dan runding cara kepada orang yang perlu menghadiri Mahkamah Bumiputera sebagai tempat menyelesaikan pertikaian serta juga kepada orang yang tugasnya untuk menghakimi kes pertikaian. |
| e. | Pengumpulan laporan prosiding mahkamah. |
| f. | Berbincang dengan Peguam Besar Negeri berkait dengan pentafsiran Ordinan Mahkamah Bumiputera 1992 dan Kaedah-Kaedah Mahkamah Bumiputera 1993. |
| g. | Berbincang dengan Majlis Adat Istiadat Sarawak berkait dengan pentafsiran Undang-Undang Adat Bumiputera. |
| h. | Penterjemahan Ordinan Mahkamah Bumiputera 1992 dan Kaedah-Kaedah Mahkamah Bumiputera 1993 ke dalam dialek-dialek Bumiputera. |
| i | Penguatkuasaan semua perintah dan penghakiman Mahkamah. |

Dengar Teks Ini