Bendera Negeri Sarawak

Negeri Sarawak pernah memiliki beberapa bentuk bendera.  Pada bulan September 1841, James Brooke menerima pakai Bendera St. George,  palang merah di atas latar yang berwarna putih dalam bentuk bendera ekor burung layang-layang.  Pada tahun 1845, James Brooke bersetuju untuk memberi Sarawak benderanya sendiri.  Bendera tersebut mempunyai palang merah yang separuhnya berwarna ungu dan separuhnya berwarna merah daripada lambang kebangsawanannya di atas latar yang berwarna kuning. Warna kuning ini ialah warna diraja di Borneo.


Apabila negeri Sarawak menjadi Koloni British pada tahun 1946, benderanya ditukar tiga kali. Pemerintah British juga mengibarkan bendera Union Jack. Negeri Sarawak terus menggunakan bendera lama Sarawak, yang mempunyai salib dan mahkota di tengah-tengahnya sehingga ditukar oleh Ketua Menteri Sarawak, Tun Haji Abdul RahmanYakub dalam tahun 1973.

Apabila Ketua Menteri Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud memegang tampuk kuasa, negeri Sarawak mendapat bendera yang baharu yang mulai dikibarkan di Stadium Negeri pada 31 Ogos 1988 bersempena dengan sambutan Jubli Perak Sarawak merdeka dalam Malaysia.

Bendera Negeri Sarawak
 

Warna merah melambangkan keberanian, keazaman dan pengorbanan rakyat dalam usaha mereka mewujudkan negeri Sarawak sebagai negeri contoh. Warna kuning melambangkan kedaulatan undang-undang dan peraturan, perpaduan dan kestabilan dalam kepelbagaian. Warna hitam menggambarkan khazanah kekayaan sumber asli negeri Sarawak seperti petroleum dan kayu balak. Bintang berwarna kuning dan berbucu sembilan melambangkan sembilan bahagian pentadbiran yang diwujudkan pada masa itu. Bintang ini juga melambangkan aspirasi rakyat negeri Sarawak dalam perjuangan mereka menambah baik kualiti kehidupan mereka.