Portal Rasmi Kerajaan Negeri Sarawak

Insentif untuk Melabur di Sarawak

Malaysia menawarkan satu daripada pakej insentif yang paling menarik di wilayah ASEAN. Insentif cukai dan kemudahan-kemudahan lain untuk sektor pembuatan disediakan dalam Akta Promosi Pelaburan 1986, Akta Pendapatan 1967, Akta Kastam 1967, Akta Cukai Jualan 1972 dan Akta Eksais 1976. Selain insentif Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sarawak sendiri juga menawarkan insentif istimewanya sendiri kepada pelabur. Insentif ini merangkumi harga yang berdaya saing untuk tanah perindustrian, rebat yang cukup menarik untuk harga tanah perindustrian dan terma pembayaran yang fleksibel dengan bayaran muka yang rendah. Syarikat asing boleh juga memiliki tanah perindustrian. Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi pihak Kementerian Pembangunan Perindustrian Sarawak.

Insentif untuk Sektor Pembuatan

Status Perintis

Sesebuah syarikat yang diberikan Status Perintis akan ditawarkan pengecualian sebahagian daripada bayaran cukai pendapatan. Syarikat ini hanya akan membayar cukai 30% daripada pendapatan berkanunnya. Tempoh pengecualian cukai ini ialah 5 tahun, bermula dari tarikh pengeluaran seperti yang ditentukan pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Walau bagaimanapun, syarikat-syarikat di negeri Sarawak akan menikmati 100% pengecualian cukai pendapatan untuk tempoh 5 tahun. Pengecualian 100% mungkin diberikan untuk projek strategik dalam industri teknologi tinggi yang melibatkan pelaburan modal yang tinggi, kandungan penyelidikan dan pembangunan yang tinggi atau perkaitan yang intensif.

Elaun Cukai Pelaburan

Sesebuah syarikat yang mendapat Elaun Cukai Pelaburan akan diberikan elaun 60% dari segi perbelanjaan modal kelayakan yang ditanggung dalam tempoh 5 tahun dari tarikh kelulusan projek. Elaun Cukai Pelaburan ini boleh mengimbangi 70% pendapatan berkanun dalam tahun taksiran. Elaun yang tidak digunakan boleh dibawa ke tahun yang berikutnya sehingga seluruh amaun itu digunakan sepenuhnya. 30% daripada pendapatan berkanun akan dikenakan cukai mengikut kadar cukai syarikat yang diamalkan. Walau bagaimanapun, syarikat-syarikat di negeri Sarawak akan mendapat elaun 100% dari segi perbelanjaan modal kelayakan yang ditanggung. Elaun ini boleh digunakan untuk mengimbangi 100% pendapatan berkanun dalam tahun taksiran itu.

Elaun Pelaburan Semula

Elaun Pelaburan Semula diberikan untuk syarikat-syarikat pembuatan yang telah beroperasi selama 12 bulan dan menanggung perbelanjaan modal kelayakan untuk pengembangan kapasiti pengeluaran, pemodenan dan penaiktarafan kemudahan pengeluaran, dan pempelbagaian terhadap produk yang berkaitan dan pengautomasian kemudahan-kemudahan pengeluaran. Elaun Pelaburan Semula ini berbentuk elaun 60% daripada perbelanjaan modal yang ditanggung untuk pengembangan, pemodenan dan penaiktarafan kemudahan-kemudahan pengeluaran dan pempelbagaian terhadap produk-produk yang berkaitan. Elaun ini boleh digunakan untuk mengimbangi 70% pendapatan berkanun dalam tahun taksiran itu.


Insentif Khas Tambahan Untuk Projek Pembuatan di Sarawak

• Syarikat-syarikat yang layak mendapat Status Perintis di negeri Sarawak akan diberikan pengecualian cukai 100% ( biasanya 70%) daripada pendapatan berkanun syarkat-syarikat itu.
• Bagi syarikat-syarikat yang layak mendapat Elaun Cukai Pelaburan, kadar elaun itu akan dinaikkan kepada 100% maksimum (biasanya 70%) daripada pendapatan berkanun.
• Pusingan kedua status perintis bagi syarikat-syarikat yang sedia ada dan yang baharu.
• Industri-industri terpilih yang terletak di negeri Sarawak boleh diberikan insentif ( iaitu Status Perintis atau Elaun Cukai Pelaburan, yang tidak lagi diberikan untuk produk-produk yang dibuat di tempat-tempat lain di Malaysia).
• Elaun prasarana 100% terhadap perbelanjaan kelayakan.• Projek-projek pembuatan di negeri Sarawak yang memenuhi pasaran tempatan juga layak untuk pengecualian penuh duti import terhadap bahan mentah, komponen-komponen dan bahagian-bahagian yang tidak terdapat di negeri Sarawak.
• Layak mendapat pemotongan berganda terhadap bayaran tambang yang ditanggung untuk mengeksport produk rotan dan produk berasaskan kayu (kecuali papan lapis, kayu bergergaji dan venir).
• Tanah perindustrian yang murah. Harga semasa dari RM 2.50.*
• Bayaran muka yang rendah untuk pembelian tanah perindustrian.
• Terma pembayaran yang fleksibel untuk pembelian tanah perindustrian.*

* Tertakluk kepada perubahan

Untuk keterangan lanjut tentang insentif untuk sektor pembuatan dan permohonan, sila hubungi pihak Kementerian Pembangunan Perindustrian, Sarawak atau pihak pejabat MIDA.

Insentif untuk Industri-industri Teknologi Tinggi

Syarikat-syarikat teknologi tinggi ditakrifkan sebagai syarikat-syarikat yang terlibat dalam mempromosikan kegiatan-kegiatan atau dalam pengeluaran produk-produk yang dipromosikan di kawasan-kawasan teknologi baharu atau teknologi yang sedang bermunculan. Syarikat teknologi tinggi layak untuk mendapat insentif yang berikut:

• Status Perintis dengan pengecualian penuh cukai di peringkat pendapatan berkanun untuk tempoh 5 tahun; atau

• Elaun Cukai Pelaburan 60% dari segi perbelanjaan modal kelayakan yang ditanggung dalam tempoh 5 tahun. Elaun ini boleh diimbangi dengan pendapatan berkanun untuk tiap-tiap tahun taksiran tanpa 100%

Syarikat teknologi tinggi ini mesti memenuhi kriteria yang berikut:

• Perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan tempatan berbanding dengan jualan kasar hendaklah sekurang-kurangnya 1% berasaskan tahunan. Walau bagaimanapun, syarikat-syarikat dibenarkan tempoh 3 tahun dari tarikh operasi/permulaan perniagaan untuk mematuhi syarat ini.

• Peratusan siswazah sains dan teknikal berbanding dengan jumlah tenaga kerja hendaklah sekurang-kurangnya 7%

Insentif untuk Industri Strategik

Pada amnya, projek strategik ditakrifkan sebagai projek yang melibatkan produk/kegiatan yang berkepentingan negara. Projek strategik ini melibatkan pelabuaran modal yang banyak dan mempunyai tempoh gestasi yang panjang; mempunyai tahap yang tinggi dari segi teknologi dan juga bersepadu; menjanakan perkaitan yang meluas; dan pada amnya mempunyai impak yang ketara terhadap ekonomi. Projek-projek yang seumpama itu layak untuk insenif-insentif yang berikut:

• Status Perintis dengan pengecualian penuh di peringkat pendapatan berkanun untuk tempoh 10 tahun; atau
• Elaun Cukai Pelaburan 100% ke atas perbelanjaan modal kelayakan yang ditanggung dalam tempoh 5 tahun. Elaun ini boleh digunakan untuk mengimbangi pendapatan berkanun untuk setiap tahun taksiran 100% .......

Takrif Penyelidikan dan Pembangunan (P&P) dalam Akta Promosi Pelaburan 1986 ialah seperti yang berikut:

“ Penyelidikan dan pembangunan bererti apa-apa kajian yang sistematik dan intensif yang dijalankan dalam bidang sains dan teknologi dengan tujuan untuk menggunakan hasil kajian itu untuk pengeluaran atau penambahbaikan terhadap bahan, peranti, produk, keluaran atau proses tetapi tidak termasuk:

• Kawalan kualiti produk atau ujian rutin terhadap bahan, peranti, produk atau keluaran;
• Penyelidikan dalam sains sosial atau kemanusiaan; • Pengumpulan rutin data;
• Tinjauan kecekapan atau kajian pengurusan;
• Penyelidikan pasaran atau promosi jualan.”

Untuk memperkuat asas Penyelidikan dan Pembangunan yang lebih bersepadu pada masa depan, syarikat-syarikat yang menjalankan kerja mereka bentuk atau memprototaip sebagai kegiatan yang tersendiri layak mendapat insentif.

Syarikat P&P Kontrak

Syarikat P&P kontrak ( iaitu syarikat yang menyediakan perkhidmatan P&P di Malaysia hanya untuk syarikat-syarikat selain syarikat-syarikat yang berkaitannya) layak memohon Status Perintis dengan pengecualian penuh cukai pendapatan di peringkat pendapatan berkanun untuk 5 tahun atau Elaun Cukai Pelaburan 100% terhadap perbelanjaan modal kelayak yang ditanggung dalam 10 tahun. ECP ini boleh digunakan untuk mengimbangi 70% pendapatan berkanun dalam tahun taksiran.

Syarikat P&P

Syarikat P&P ( iaitu syarikat yang menyediakan perkhidmatan P&P di Malaysia untuk syarikat-syarikat yang berkait dengannya atau untuk mana-mana syarikat lain ) layak untuk memohon ECP 100% terhadap perbelanjaan modal kelayakan yang ditanggung dalam 10 tahun. ECP ini boleh digunakan untuk mengimbangi 70% pendapatan berkanun dalam tahun taksiran itu. Syarikat-syarikat yang berkaitan tidak akan menikmati pemotongan berganda untuk pembayaran yang dibuat kepada Syarikat P&P walaupun menggunakan perkhidmatannya melainkan Syarikat P&P itu memilih untuk tidak mendapat ECP.

Kelayakan

Syarikat-syarikat P&P kontrak dan syarikat-syarikat P&P layak untuk mendapat pelbagai insentif dengan syarat kriteria yang berikut dapat dipenuhi:

• Penyelidikan yang dijalankan hendaklah mengikut keperluan negara dan dapat membawa faedah kepada ekonomi Malaysia.
• Sekurang-kurangnya 70% pendapatan syarikat hendaklah diterbitkan daripada kegiatan penyelidikan dan pembangunan.
• Untuk P&P yang berasaskan pembuatan, sekurang-kurangnya 50% daripada tenaga kerja syarikat mestilah pekerja yang memiliki kelayakan yang sesuai dalam menjalankan kerja penyelidikan dan teknikal; dan
• Untuk P&P yang berasaskan pertanian, sekurang-kurangnya 5% tenaga kerja syarikat mestilah pekerja yang memiliki kelayakan yang sesuai dalam menjalankan kerja penyelidikan dan teknikal.

Penyelidikan Dalaman

Syarikat-syarikat yang menjalankan penyelidikan dalaman di Malaysia ( iaitu P&P yang dijalankan di dalam syarikat untuk tujuan perniagaannya sendiri) layak memohon ECP 50% terhadap perbelanjaan modal kelayakan yang ditanggung dalam 10 tahun. ECP ini boleh digunakan untuk mengimbangi 70% pendapatan berkanun dalam tahun taksiran itu.

Pemotongan Berganda Untuk Penyelidikan dan Pembangunan

Pemotongan berganda dibenarkan terhadap hasil perbelanjaan yang ditanggung oleh seseorang bagi penyelidikan yang langsung dijalankan olehnya atau bagi pihaknya, yang diluluskan oleh pihak Menteri Kewangan. Pemotongan berganda dibenarkan terhadap pembayaran untuk penggunaan perkhidmatan-perkhidmatan dari institut-institut, syarikat-syarikat P&P, syarikat-syarikat P&P kontrak yang diluluskan, serta juga terhadap sumbangan tunai yang diberikan kepada pihak institut yang diluluskan.

Insentif-insentif Lain

• Elaun Bangunan Perindustrian dalam bentuk elaun awal 10% dan elaun tahunan 3% disediakan untuk bangunan yang digunakan untuk tujuan P&P yang diluluskan.
• Elaun modal ke atas perbelanjaan modal yang ditanggung dalam penyediaan loji dan jentera yang digunakan untuk P&P.

Jentera/kelengkapan, bahan, bahan mentah/bahagian-bahagian komponen dan sampel yang digunakan untuk tujuan P&P layak mendapat pengecualian daripada duti import, cukai jualan dan duti eksais.

Insentif untuk Pelarasan Perindustrian

Syarikat yang beroperasi sebelum 31 Disember 1990 dalam sektor berasaskan kayu, tekstil, jentera dan kejuruteraan layak untuk mendapat insentif tertentu apabila menjalankan atau menyertai program pelarasan perindustrian yang diluluskan.

Untuk tujuan insentif-insentif ini, pelarasan perindustrian telah ditakrifkan sebagai apa-apa kegiatan yang dicadangkan untuk dijalankan oleh sektor tertentu dalam industri pembuatan; untuk penstrukturan semula melalui penyusunan semula, pembinaan semula atau penggabungan dengan harapan untuk memperkuat asas kecekapan kendiri perindustrian yang menambah baik teknologi perindustrian, peningkatan produktivi, meningkatkan penggunaan yang cekap terhadap sumber asli dan pengurusan yang cekap dari segi tenaga kerja.

Syarikat-syarikat yang menjalankan program pelarasan perindustrian yang diluluskan ini layak untuk Elaun Pelarasan Perindustrian (EPP). EPP ini menyediakan elaun sehingga 100 % dari segi perbelanjaan modal kelayakan yang ditanggung oleh syarikat pembuatan dalam usahanya menjalankan pelarasan perindustrian. Ciri-ciri EPP ialah :

• Program pelarasan perindustrian perlu diluluskan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Menteri Kewangan.
• EPP diberikan untuk perbelanjaan modal kelayakan yang ditanggung dalam 5 tahun dari tarikh insentif diluluskan.
• Syarikat-syarikat yang menikmati Elaun Cukai Pelaburan ( ECP) hanya layak untuk memohon EPP dari segi perbelanjaan modal yang ECP-nya belum lagi diberikan.

Syarikat yang diberikan ECP tidak layak untuk mendapat Elaun Pelaburan Semula bagi perbelanjaan yang sama.

Insentif untuk Industri Kecil

Syarikat-syarikat pembuatan sekala kecil yang ditubuhkan di Malaysia yang mempunyai dana pemegang saham yang tidak melebihi RM 500,000 dengan ekuiti orang Malaysia sekurang-kurangnya 60% layak untuk mendapat insentif status perintis dalam bentuk pengecualian cukai pendapatan 100% daripada pendapatan berkanun untuk tempoh 5 tahun; atau Elaun Cukai Pelaburan 60% ke atas perbelanjaan modal kelayakan yang ditanggung dalam 5 tahun dan dapat diimbangi dengan 100 % pendapatan berkanun untuk setiap tahun taksiran.

Insentif untuk Storan, Rawatan dan Pelupusan Sisa Beracun dan Berbahaya

Insentif juga disediakan untuk menggalakkan penubuhan kemudahan-kemudahan yang teratur untuk storan, rawatan dan pelupusan sisa beracun dan berbahaya.

Insentif Status Perintis untuk 5 tahun disediakan untuk syarikat-syarikat yang terlibat secara langsung dalam storan, rawatan dan pelupusan sisa beracun, dan berbahaya dengan cara yang bersepadu.

Syarikat-syarikat yang banyak mengeluarkan sisa dan bercadang untuk mengadakan kemudahan-kemudahan untuk menstor, merawat dan melupuskan sisa, sama ada di tapak sendiri atau di tapak luar, layak mendapat elaun khas dengan kadar awal 20% untuk semua perbelanjaan modal.

Sebagai insentif lanjut untuk kedua-dua kategori syarikat, pihak Kerajaan akan juga memperluas skim pengecualian duti import semasa dan cukai jualan untuk jentera, kelengkapan, bahan mentah dan komponen kepada syarikat ini untuk menstor, merawat dan melupuskan sisa beracun dan berbahaya.

Insentif-insentif Khas yang Lain

Ada insentif khas untuk Industri Pelancongan, Koridor Raya Multimedia (KRM) seperti yang berikut:

• Sektor Pertanian
• Pembangunan Perisian
• Komputer dan Aset Teknologi Maklumat
• Perolehan Hak Pemilikan
• Latihan
• Ibu Pejabat Operasi
• Pusat Pemerolehan Antarabangsa
• Projek Perkhidmatan yang Diluluskan
• Industri Perkapalan
• Insentif-insentif Berkaitan Tarif
• Perlidungan Pelaburan Asing