The Official Portal of the Sarawak Government


Tiada Lagi Perkhidmatan Feri Di Sarawak Menjelang Tahun 2025

Date : 05 January 2021     Source : utusan borneo online

Abang Johari semasa sidang media selepas majlis pecah tanah Dewan Masyarakat / Sukan dan Hab Inovatif di Jalan Stephen Yong di sini. - Gambar oleh Chimon Upon.
Abang Johari semasa sidang media selepas majlis pecah tanah Dewan Masyarakat / Sukan dan Hab Inovatif di Jalan Stephen Yong di sini. - Gambar oleh Chimon Upon

KUCHING: Sarawak dijangka tidak lagi menggunakan perkhidmatan feri di seluruh negeri dalam tempoh lima tahun lagi.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ia ekoran daripada pembinaan jambatan untuk menghubungkan semua jalan utama dan jalan pesisir di negeri ini bagi menggantikan perkhidmatan feri.

"Perancangan untuk kita menggantikan feri ini dengan membina jambatan sebenarnya telah dibuat oleh Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem dan saya meneruskan dasar dari beliau ini.

"Kesemua jambatan telah dibina kecuali jambatan Batang Lupar yang masih belum pecah tanah tetapi sudah ada peruntukan. 

"Saya percaya semua jambatan di seluruh negeri yang kita bina ini siap menjelang tahun 2025 dan sekali gus Sarawak tiada lagi menggunakan perkhidmatan feri sebaik sahaja semua jambatan siap dibina," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnkan Majlis Pecah Tanah Projek Rakyat Dewan Masyarakat / Sukan dan Hab Inovatif di Jalan Datuk Stephen Yong di sini, hari ini.

Tambah Abang Johari, selain Batang Lupar, antara jambatan yang sedang dibina adalah termasuk jambatan Kuala Kemena, Bintulu; jambatan Batang Lassa, Mukah; jambatan Batang Saribas, Betong; jambatan Batang Krian, Betong dan jambatan Batang Paloh, Mukah.

"Bagi Batang Lupar, pembinaan jambatan mungkin mengambil masa dalam empat tahun kerana ia melibatkan pembinaan terpanjang iaitu lebih 5 kilometer (km)," katanya sambil memberitahu keseluruhan kos pembinaan semua jambatan di Sarawak adalah RM5 bilion.

Mengenai jambatan Batang Lupar, katanya pada dasarnya pembinaan jambatan berkenaan dipersetujui oleh Allahyarham Tok Nan bersama mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Abang Johari berkata, malahan dalam persetujuan berkenaan dasar yang digunakan pembiayaan secara perkongsian antara Kerajaan Persekutuan (Barisan Nasional) dan Kerajaan Sarawak dengan konsep 50:50 pada ketika itu.

Bagaimanapun ujarnya selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pembinaan tampuk pemerintahan, pembinaan projek jambatan Batang Lupar itu dibatalkan.

"Maka itu kerajaan negeri mengambil pendirian untuk membiayai sendiri pembinaan semua jambatan yang kita bina termasuk Batang Lupar dengan dana kita sendiri," katanya.

Dengan itu katanya beliau menjangkakan semua jambatan yang dibina siap dalam tempoh lima tahun akan datang iaitu 2025 termasuk jambatan Batang Lupar. 

 

oleh Jessica Jawing



Media Center