The Official Portal of the Sarawak Government


Festival Keusahawanan X Marvellous Food Festival 2024 Meriahkan Betong

Date : 07 October 2024     Source : UKAS



BETONG: Dataran Tasik Medan Betong menjadi tumpuan ribuan pengunjung bersempena dengan Majlis Perasmian ‘Festival Keusahawanan X Marvellous Food Festival 2024’.

Festival ini telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Betong, Dr. Richard Rapu, yang turut disertai oleh lebih 1,000 pengunjung.

Festival anjuran Marvellous Food Festival - Event & Management dengan kerjasama Pejabat FAMA Bahagian Betong dan Jawatankuasa Pasar Tani Medan Betong ini berlangsung dari 2 hingga 6 Oktober 2024.

Ia menampilkan lebih 70 gerai peniaga Pasar Tani Medan Betong serta vendor makanan terkemuka yang mengambil bahagian dalam Jelajah Marvellous Food Festival 2024 di seluruh Sarawak.

Dr. Richard berharap festival ini dapat menjadi peluang bagi usahawan tempatan menjana pendapatan melalui jualan makanan.

Beliau turut mengingatkan tentang kepentingan kebersihan dalam pengendalian makanan serta menyeru pengunjung untuk menjaga kebersihan persekitaran sewaktu beliau membuat lawatan ke gerai gerai yang terdapat di Festival berkenaan.

Menurut Pengurus Marvellous Food Festival 2024 Yatt Rafael, tujuan festival ini adalah untuk memperkenalkan juadah tempatan dan memberi platform kepada usahawan makanan untuk memperkasakan industri mereka.

Sementara itu, Ketua Pejabat FAMA Bahagian Betong Druz Kairollizman berkata kolaborasi pertama antara FAMA dan Marvellous Food Festival ini turut memperkenalkan Jualan Agro MADANI yang menawarkan barangan asas dengan harga berpatutan.

Festival tersebut turut dimeriahkan dengan pertunjukan bunga api dan persembahan daripada artis-artis tempatan serta kumpulan terkenal seperti UKAYS, Kumpulan Lestari, pelawak Shuib dan Mamat Sepahtu.

Festival Keusahawanan X Marvellous Food Festival 2024 dijangka mampu merangsang ekonomi setempat dan mempromosikan budaya makanan Sarawak kepada orang ramai, sekali gus mengangkat Betong sebagai salah satu destinasi pilihan dalam sektor pelancongan makanan di Malaysia.-EDISI UKAS-



Media Center