AJAX Error Sorry, failed to load required information. Please contact your system administrator. |
|
|
Close |
Loading..... |
Sarawak Tuan Rumah Persidangan Speaker-Speaker Parlimen & DUN Se-Malaysia 2024
Date : 09 September 2024 Source : UKAS
KUCHING: Sarawak akan menjadi tuan rumah bagi Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Speaker-Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Se-Malaysia Tahun 2024 yang dijadualkan berlangsung pada 12 dan 13 September di DUN Sarawak.
Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar berkata, seramai 42 orang delegasi terdiri daripada Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Negara, Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negerio seluruh Malaysia serta Setiausaha Dewan masing-masing akan berhimpun dan bersidang bagi tujuan memperkasakan peranan institusi speaker, peranan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri sebagai platform yang mewakili suara rakyat.
“Objektif utamanya adalah untuk mengadakan satu forum di mana speaker-speaker bertukar pandangan dan pendapat serta mengeratkan silaturahim di antara satu sama lain.
“Ini juga untuk membincangkan cabaran dan masalah yang dihadapi oleh Speaker-Speaker dan Parlimen,” katanya dalam satu sidang media sempena Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Speaker-Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Se-Malaysia Tahun 2024 yang diadakan di Bangunan DUN Sarawak pada Isnin.
Tambahnya, ini juga untuk mempertingkatkan standard demokrasi berparlimen agar dapat mengelakkan keadaan parlimen atau DUN kucar-kacir yang mengikut undang-undang dan ketenteraman.
Tan Sri Mohamad Asfia menambah, persidangan itu kelak menyaksikan tiga kertas kerja yang akan dibentangkan oleh Yang di-Pertua Dewan Negara, Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Speaker DUN Sarawak.
Kertas kerja pertama yang dibentangkan adalah membincangkan mengenai dua persoalan iaitu mengenai adakah Dewan Negara adalah institusi ‘Rubber Stamp’ dan ‘Kuasa Speakar adalah sesuatu yang konkret atau hanya coretan’ di mana ia akan dibentangkan oleh Yang di-Pertua Dewan Negara, Senator Dato Awang Bemee Awang Ali Basah.
Daripada Dewan Rakyat ujarnya, kertas kerja kedua adalah mengenai cara memperkukuhkan demokrasi berparlimen melalui penglibatan awam yang progresif yang akan dibentangkan oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Dato' Dr Johari Abdul.
Manakala daripada DUN Sarawak katanya, kertas kerja yang ketiga adalah mengenai pindaan kepada peraturan mesyuarat (standing order) yang dibentangkan oleh beliau sendiri.
Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan DUN Se-Malaysia 2024 ini akan dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Dewan Santapan, Bangunan DUN Sarawak pada 13 September kelak.
Majlis Makan Malam Negeri sempena persidangan tersebut akan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada 13 September. -EDISI UKAS
State Secretary
Sarawak State Secretary Office,
Level 20 , Wisma Bapa Malaysia
Petra Jaya, 93502 Kuching
Tel :082-441957
Fax :082-441677
Email: 555999@sarawak.gov.my
Copyright © 2018-2025 Sarawak Government. All rights reserved
Disclaimer: The Government of Sarawak shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this portal. Services provided through this portal are subject to the terms and conditions of the respective providers
Best viewed with latest Firefox and latest Google Chrome in 1024 x 768 screen resolution.
No. of visitors 24591146