The Official Portal of the Sarawak Government


MIPD & KKDW Selesai Isu Projek Jalan Raya

Date : 01 February 2024     Source : UKAS

KHAMIS, 1 FEBRUARI 2024

KUCHING: Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD) dan Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) telah mencapai kata sepakat dalam menyelesaikan isu beberapa projek jalan raya yang tergendala di bawah KKDW.

Penyelesaian itu hasil daripada perbincangan yang diadakan di antara kedua-dua pihak di sini, pada Khamis.

Menurut Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, perbincangan tersebut telah berjaya menyelesaikan pelbagai isu yang timbul yang telah menghalang kelancaran projek itu.

“Daripada perbincangan ini, kita telah menyelesaikan masalah beberapa projek jalan raya yang tergendala di seluruh negeri.

“Pihak KKDW juga telah menerima cadangan daripada pihak kami dengan baik,” ujarnya.

Perbincangan tersebut diketuai Datuk Amar Douglas Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak manakala KKDW diketuai Setiausaha Agungnya Dato Sri Ramlan Dato Harun.

Tambah Datuk Amar Douglas, MIPD dan Jabatan Kerja Raya (JKR) komited dalam membantu pelaksanaan projek-projek yang tergendala tersebut.

Hadir sama Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Ir. Aidel Lariwoo, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala, Setiausaha Tetap MIPD Datu Chiew Chee Yau dan Pengarah JKR Sarawak Datuk Ir. Ts. Richard Tajan. -EDISI UKAS



Media Center