The Official Portal of the Sarawak Government


Forum Kepimpinan 2024 Platform Penting Kukuh Kolaborasi PANS & GLC

Date : 28 January 2024     Source : UKAS

AHAD, 28 JANUARI 2024

LANGKAWI: Forum Kepimpinan 2024 merupakan sebuah platform penting yang membolehkan Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak (PANS) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) untuk bertukar pengetahuan, idea dan pandangan dalam pelbagai bidang.

Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, melalui forum ini, kedua-dua pihak dapat memahami keperluan dan aspirasi masing-masing, serta merangka strategi yang berkesan untuk mengukuhkan lagi kolaborasi yang sedia ada.

Beliau menekankan bahawa kolaborasi yang erat di antara PANS dan GLC adalah kunci kepada kejayaan pembangunan jangka panjang.

Katanya, dengan saling melengkapi kelebihan dan sumber daya yang ada, matlamat pembangunan akan dapat dicapai dengan lebih berkesan serta berada di landasan yang betul untuk masa depan yang lebih baik.

“Bersama-sama sebagai satu pasukan, kita boleh membina masa depan.

“Apabila kita berkolaborasi dan menyelaraskan usaha kita, kita dapat mencapai impak yang lebih besar dan membina masa depan yang sejahtera, inklusif serta mampan sekaligus memastikan Sarawak kekal sebagai negeri yang berkembang maju untuk generasi akan datang,”katanya semasa berucap di Forum Kepimpinan 2024 yang disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, di sini pada Ahad.

Forum anjuran bersama Sarawak Centre of Performance Excellence (SCOPE), Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dan Sarawak Energy Berhad (SEB) itu berlangsung selama dua hari, bermula Sabtu dan telah menyaksikan empat pembentangan daripada panel-panel jemputan.

Hadir sama ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Peguam Besar Negeri Sarawak Datu Saferi Ali, Setiausaha Kewangan Negeri Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Perancangan Ekonomi Dan Pembangunan) Datu Dr. Muhammad Abdullah Zaidel, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee, Pengerusi Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) Tan Sri Datuk Amar Dr Hamid Bugo, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Tan Sri Datuk Amar (Dr.) Abdul Aziz Husain, Ahli Lembaga SEB Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, dif-dif kenamaan lain dan pihak Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Sarawak.-Edisi UKAS



Media Center