The Official Portal of the Sarawak Government


Tun Datuk Patinggi Temenggong Jugah Barieng: Tokoh Dayak Satukan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia

Date : 09 September 2024     Source : UKAS



KUCHING: Tun Datuk Patinggi Temenggong Jugah Barieng, tokoh Dayak terkemuka, memainkan peranan penting dalam menyatukan wilayah Sarawak ke dalam Persekutuan Malaysia.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata bahawa Tun Jugah Barieng, salah seorang tokoh masyarakat Iban yang ulung, berjasa besar dalam menjadikan Malaysia satu realiti.

Jelasnya, tarikh 16 September 1963 menjadi simbol kesepakatan antara pemimpin dan rakyat ketiga-tiga wilayah ini untuk bergabung di bawah satu payung negara dan dikenali sebagai bangsa Malaysia.

"Setelah melalui proses yang panjang dan dengan semangat setiakawan pemimpin seperti Tun Datuk Patinggi Temenggong Jugah dari Sarawak, Tun Datu Mustapha Datu Harun, dan Tun Muhammad Fuad Stephens dari Sabah, idea menubuhkan sebuah negara baru bernama 'Malaysia' berjaya direalisasikan, walaupun tanpa penyertaan Brunei," katanya.

Beliau berkata demikian melalui teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, mewakili beliau merasmikan Program Mengenang Negarawan Tun Datuk Patinggi Temenggong Jugah Barieng di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari juga mengagumi ketajaman fikiran Tun Jugah, meskipun beliau tidak mendapat pendidikan formal ketika zaman pemerintahan Brooke, yang kurang menitikberatkan pendidikan moden.

"Satu hal yang dikagumi mengenai Tun Jugah adalah ketajaman fikiran dan pandangan realistiknya, walaupun beliau tidak berasal dari keluarga berpendidikan tinggi. Beliau berjaya mempelajari Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris melalui pergaulannya dengan masyarakat," tambahnya.

Dedah beliau lagi, Tun Jugah juga merupakan orang Iban pertama yang mendapat penghormatan daripada kerajaan British.

Program tersebut turut diisi dengan pengkisahan oleh anaknya, Tan Sri Datuk Amar Leonard Linggi yang juga Pengerusi Yayasan Tun Jugah.

Hadir sama Menteri Perpaduan Negara Dato Sri Aaron Ago Dagang, Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Mantan Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Alfred Jabu Numpang, serta para menteri kabinet Persekutuan dan Negeri serta dif-dif kehormat lain.-EDISI UKAS



Media Center