The Official Portal of the Sarawak Government


Toh Puan Fauziah Penaung Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Sarawak

Date : 29 February 2024     Source : UKAS

KHAMIS, 29 FEBRUARI 2024

KUCHING: Isteri Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi dilantik sebagai Penaung Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Sarawak, berkuat kuasa 26 Januari 2024.

Menurut Yang di Pertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Sarawak, Dato Dayang Morliah Datuk Awang Daud, pelantikan ini termaktub di bawah ‘Girl Guides Association Malaysia, Sarawak Branch State Constitution Section II-The Patron Article 4’ yang mana penaung hendaklah merupakan isteri kepada Gabenor atau individu yang layak serta sesuai memegang jawatan tersebut.

“Alhamdulillah Toh Puan telah berbesar hati untuk menerima pelantikan ini dan harapan kita dengan adanya penaung kita ini, Pandu Puteri Sarawak akan bertambah aktif dan maju lagi,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Toh Puan Fauziah bagi menyerahkan surat pelantikan berkenaan di Astana Negeri Sarawak, pada Khamis.

Dalam pada itu, tambah Dato Dayang Morliah, pihaknya juga telah menjemput Toh Puan Fauziah untuk menyertai program Girl Guides Run 2024 yang akan diadakan pada 3 Mac ini di perkarangan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS).

Ujar beliau, objektif larian ini adalah untuk mengumpul dana bagi membiayai aktiviti-aktiviti persatuan serta membeli pelbagai peralatan untuk kegunaan ahli-ahli dan pengurusan pejabat, di samping membaik pulih bangunan Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Sarawak.

Jelasnya lanjut, program ini kelak akan melibatkan seramai 1,000 penyertaan daripada ahli Pandu Puteri Sarawak, kakitangan pejabat kerajaan, pihak swasta termasuk orang awam.

“Kita harap pihak umum akan beri sokongan kerana ini adalah acara yang akan membawa kebaikan kepada anak-anak gadis kita untuk meningkatkan lagi kemahiran dan sifat-sifat kepimpinan mereka,”tambahnya.

Turut sama dalam kunjungan itu ialah Timbalan Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Sarawak Annie Sim, Ketua Pesuruhjaya Cawangan Ruth Sibat@Nur Mithali Abdullah, Setiausaha Kehormat Rukayah Dawi, Pesuruhjaya Pandu Puteri Remaja Siti Nurwanni Abdullah, Pesuruhjaya Pandu Puteri Renjer Rosnani Abdul Latif, Pesuruhjaya Bahagian Keahlian Angelina Ann John Bosco dan Setiausaha Eksekutif Janet Lim.-Edisi UKAS



Media Center