The Official Portal of the Sarawak Government


PPR Wujudkan Rumah Mampu Milik Untuk Masyarakat

Date : 07 September 2022     Source : UKAS

RABU, 7 SEPTEMBER 2022

KUCHING: Program Perumahan Rakyat (PPR) merupakan inisiatif kerajaan Malaysia untuk mewujudkan lebih banyak rumah mampu milik untuk masyarakat.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, pembangunan PPR Petra Jaya ini terletak kira-kira 25km dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan 15km dari pusat bandar dan merupakan satu-satunya PPR pertama yang dibina di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai.

“Maknanya permohonan untuk PPR ini sangat menggalakkan daripada masyarakat kita terutama dari anak-anak muda kita.

“Jadi, sebab itu Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg turut menyarankan beberapa kawasan yang telah dikenalpasti untuk projek perumahan ini dan memenuhi permintaan generasi muda yang ada di Sarawak.

“Besar harapan kita semoga pihak kementerian untuk berusaha memastikan kita dapat menggerakkan tugas kerja untuk menjamin keperluan masyarakat kita yang memerlukan rumah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penyerahan Replika Kunci Program Perumahan Rakyat (PPR) bertempat di Dewan PPR Petra Jaya Kuching pada Rabu.

Untuk rekod, PPR Petra Jaya dilengkapi dengan kemudahan seperti sebuah surau berkapasiti 100 orang, sebuah tadika yang boleh memuatkan sehingga 40 orang pelajar dan sebuah Dewan Masyarakat yang boleh memuatkan 280 orang pada bila-bila masa di samping penyediaan ruang hijau terbuka.

PPR tersebut terletak di sepanjang Jalan Sultan Tengah dan pembangunannya di atas kawasan seluas 23 ekar membabitkan pembinaan 208 unit rumah teres.

Setiap unit dilengkapi dengan tiga bilik tidur, dua bilik mandi, ruang tamu, dapur dan parkir kenderaan.

Malah, rumah ini dijual pada harga yang jauh lebih murah dari harga pasaran iaitu antara RM50,400 hingga RM59,200 serta pembiayaan kewangannya melalui anak syarikat Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) iaitu Mutiara Mortgage dan Credit Sdn Bhd dengan kadar keuntungan 1 peratus.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak Mohamad Asman Ahmad dan wakil Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Konsil Genam. – EDISI UKAS



Media Center