Berita

< Back to article list

Sambutan Peminat Terhadap Pesta Gudi Sarawak Amat Memberangsang

2011 September 22

BINTULU: Sambutan peminat layang-layang terhadap Pesta Gudi Sarawak amat memberangsang berdasarkan penyertaan ramai peserta dari seluruh Sarawak baru-baru ini, antaranya membabitkan 156 peserta dari Kuching, Kota Samarahan, Sri Aman, Sarikei, Sibu, Miri, Niah, Kuala Baram, Limbang dan Lawas.

Pesta Gudi Sarawak yang berlangsung pada 17 dan 18 September lalu di tapak lapangan terbang lama di sini turut mencuri tumpuan penonton dalam beberapa acara, antaranya adalah acara khusus untuk peserta yang mendapat kedudukan paling rendah iaitu dari tempat ke-11 dan seterusnya layak untuk menyertai pertandingan ‘One Man Standing’.

Dalam pertandingan itu peserta dari Miri, Abdul Razak Bapel berjaya memenangi kedudukan terbaik.

Manakala Pertandingan Gudi Putus Tali pula johannya disandang oleh Saizini Redzuan Teo, naib johan Hamid Mawi dan ketiga Sazali Moss.

Hadiah disampaikan Setiausaha Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) Mohd Bohari Kipli. Kebanyakan kemenangan dirangkul oleh peserta dari Miri.

Justeru dengan kemenangan itu, Saizini, Hamid dan Sazali bakal mewakili Malaysia dalam Pertandingan Layang-layang Putus Tali Peringkat Antarabangsa sempena Festival Layang-layang Antarabangsa Borneo Bintulu dari 22 hingga 25 September ini.

Selain itu setiap negara akan menghantar tiga wakil mereka ke pertandingan itu yang juga dikenali sebagai Kejohanan Lawan Layang-layang Antarabangsa.

Menurut Presiden Bintulu Kite Flyer (BKF) Azman Drahman, dijangka 28 negara akan bersaing hebat dalam pertandingan itu kelak.

“Pertandingan itu akan diadili mengikut acuan atau peraturan yang telah disediakan oleh Bintulu Kite Flyars (BKF),”katanya semalam.

Azman berkata, BKF merupakan pengurus teknikal untuk acara itu dan pertandingan itu pula merupakan acara julung kalinya diadakan pada tahun ini sempena festival tersebut.

Beliau berkata, ini merupakan satu langkah permulaan pihaknya untuk memperkenalkan permainan tradisional kepada penduduk Sarawak dan masyarakat antarabangsa amnya.

Jelasnya, Menteri Muda Kemudahan Awam Datuk Dr Stephen Rundi Utom yang merasmikan Pesta Gudi  Sarawak itu baru-baru ini turut menyarankan agar pertandingan itu diadakan dalam skala besar, manakala tarikhnya diadakan  secara berasingan dengan tarikh Festival Layang-layang Antarabangsa Borneo Bintulu.

Dalam pada itu acara untuk kenamaan turut diadakan pada pesta itu iaitu perlawanan Gudi Putus Tali Berkaca antara Pengerusi BDA Dato Sri Celestine Ujang Jilan dengan Dr Rundi, manakala Timbalan Residen Bintulu dengan Pengurus  Besar BDA Datu Mohidin Ishak.

(Sumber: Utusan Borneo, 22 September 2011)