Berita

< Back to article list

Perumahan Rakyat Terus Diperkasa

2011 November 23

KUCHING: Kementerian Perumahan telah mengemukakan permohonan peruntukan kepada kerajaan persekutuan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) untuk membina sebanyak 19,126 unit Rumah Mampu Milik (RMM) di negeri ini.

Menterinya Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata ia terdiri daripada 11,554 unit untuk di-miliki dan 7,572 unit untuk disewa.

“Program ini akan kita jalankan sejajar dengan program setinggan sifar menjelang tahun 2020.

“Ia juga bagi mencapai matlamat Dasar Perumahan Negara iaitu penyediaan perumahan yang mencukupi, selesa, berkualiti dan mampu dimiliki bagi meningkatkan taraf hidup rakyat,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada Persidangan DUN di sini, semalam.

Beliau berkata tumpuan projek-projek yang dicadangkan dalam RMK-10 itu kebanyakannya di bahagian yang mempunyai ramai penduduk setinggan seperti di Miri, Bintulu dan Kuching.

Abang Johari memberitahu Kementerian Perumahan melalui Perbadanan Pem-bangunan Perumahan (HDC) sejak 2009 telah membina 864 unit RMM di daerah Ku-ching, Samarahan, Bintulu, Mukah, Song dan Kanowit.

Katanya 2,000 unit rumah pangsa untuk disewa di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR Sewa) di bahagian Kuching, Sibu dan Bintulu telah dan sedang dibina Jabatan Perumahan Negara dengan nilai kos projek sebanyak RM238.5 juta.

“Projek-projek ini di baha-gian Kuching dan Sibu masih lagi dalam proses penawaran. Bagi projek di Bintulu pula, ia akan siap sepenuhnya pada tahun depan.

“Projek-projek Rumah Mampu Milik di Kuching, Samarahan dan Mukah se-jumlah 669 unit telah siap sepenuhnya dengan kos RM74,370,000 dan setakat ini telah ditawarkan kepada pemohon-pemohon yang berjaya,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa RMM di Bintulu, Song dan Kanowit sebanyak 196 unit akan siap sepenuhnya pada hujung tahun ini dengan kos RM25,630,000.

(Source: Utusan Borneo Online, 23 Nov 2011)