Berita

< Back to article list

Pembinaan jalan raya berturap Empili ke simpang Kara-Bait bermula Ogos

2013 Julai 22

PANTU: Pembinaan jalan raya berturap sepanjang empat kilometer bernilai RM2.6 juta dari kawasan Empili hingga ke simpang Kara-Bait di Lachau daerah kecil Pantu akan bermula bulan depan.

Menteri Muda Pemodenan Pertanian Datuk Mong Dagang berkata, projek fasa dua itu adalah susulan daripada projek fasa satu sebelum ini.

Projek fasa satu yang sepanjang 3.4 kilometer bernilai RM2 juta yang sudah siap dibina bermula dari kawasan Sungai Besai hingga ke Empili, Lachau.

“Saya menjangkakan projek fasa dua ini akan siap dalam tempoh dua bulan dan akan memberi manfaat kepada 18 buah rumah panjang di kawasan itu,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan ditemui pada sesi lawatan kerja ke tapak projek di Jalan Kara-Bait, Lachau, daerah kecil Pantu, Sri Aman semalam.

Selain itu, Mong juga berharap agar rakyat luar bandar memanfaatkan sepenuhnya kemudahan jalan raya yang telah dibina oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Turut hadir Jurutera Bahagian Jabatan Kerja Raya (JKR) Sri Aman Cassidy Morris, Penolong Jurutera Bahagian JKR Sri Aman Mohd Nor Ismail dan ketua kaum di sini.

 

(Sumber : Utusan Borneo Online, 22 Julai 2013)