Berita

< Back to article list

Kalendar Pelancongan 2013 Senaraikan 101 Acara

2012 November 21

KUCHING: Sejumlah 101 acara dimuatkan dalam Kalendar Pelancongan Sarawak 2013 yang merangkumi acara kebudayaan, destinasi, perayaan, sukan dan persidangan.

Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berharap, acara-acara tersebut akan meningkatkan bilangan kemasukan pelancong ke Sarawak.

“Kita akan melancarkan Tahun Melawat Sarawak 2013 pada Mac sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan Sarawak ke-50.

“Dengan kempen Tahun Melawat Sarawak, Kementerian Pelancongan akan memberi tumpuan terhadap beberapa acara yang akan dipromosikan di seluruh dunia,” katanya ketika melancarkan kalendar tersebut di sini, semalam.

Antara acara tersebut ialah Festival dan Anugerah Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA), Borneo Jazz, Pesta Menuai Sedunia, Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia, Pesta Benak, Regata Sarawak, Borneo International Yachting Challenge, Pesta Kebudayaan Borneo dan Pesta Layang-layang Antarabangsa Borneo.

Turut dimuatkan dalam kalendar tersebut ialah Regata BandarayaKu pada April, Festival Motosikal Berkuasa Tinggi Borneo dan Pesta Kebudayaan Gawai Dayak pada Jun di Tebingan Sungai Kuching.

Cyclefest Sarawak yang akan diadakan pada 30-31 Mac akan membawa peserta berbasikal melalui pemandangan indah di negeri ini, manakala pesta kaum Melanau iaitu Pesta Kaul Mukah akan diadakan pada 24-28 April di Taman Kala Dana.

Pesta muzik Borneo Jazz pula akan menyaksikan pemuzik serta peminat jazz dari rantau Asia berkumpul di bandar Miri pada 10-11 Mei.

Menjelang pertengahan tahun dua acara utama iaitu Pesta Layang-layang (Pesta Gudi) akan diadakan di lapangan terbang lama Bintulu dan Borneo Highlands Padawan Nature Challenge pada 30 Jun bertempat di Kampung Annah Rais dan Borneo Highland Resort.

Menurut Abang Johari, kementerian beliau telah memperuntukkan sejumlah RM960,000 bagi membantu pembangunan aktiviti-aktiviti pelancongan dan bercadang untuk menaik taraf kemudahan infrastruktur di negeri ini bagi menampung kedatangan pelancong yang kian meningkat.

Justeru beliau menyeru kepada penganjur-penganjur agar berfikiran kreatif serta memberi pengalaman berlainan bagi menarik pelancong datang menyertai aktiviti yang diadakan terutama sekali pelancong korporat.

Abang Johari berkata, beliau sendiri akan mengetuai delegasi ke negara Australia, Hong Kong dan Singapura bagi mempromosikan acara serta membincangkan laluan penerbangan dari negara-negara tersebut ke negeri Sarawak.

Hadir sama, dua Menteri Muda Pelancongan, Datuk Talib Zulpilip dan Datuk Gramong Juna serta Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan Datu Ik Pahon Joyik.

(Sumber: Utusan Borneo, 21 Nov 2012)