Pengangkutan Darat

Semua bahagian dan daerah di negeri Sarawak dihubungkan dengan jalan raya sekarang. Lebuh Raya Trans-Borneo bermula di Lundu di Bahagian Kuching merentas negeri menuju ke Merapok di Bahagian Limbang. Dalam tahun 1960-an negeri Sarawak mempunyai jalan raya berturap dalam sekitar 300 batu. Walau bagaimanapun, sekarang negeri Sarawak sudah dihubungkan oleh lebih 11,368 km jalan raya. Secara kasarnya, 72% daripada jalan raya ini berturap bitumen manakala 22% jalan batu dan yang selebihnya tidak berturap.

Sistem jalan raya di negeri Sarawak sentiasa dinaik taraf dan sistem pengangkutan awam ditambah baik untuk memenuhi keperluan lalu lintas yang kian meningkat. Baru-baru ini, jumlah RM 5.5 bilion telah diperuntukkan untuk melebarkan rangkaian jalan raya yang menghubungkan bandar-bandar utama di negeri Sarawak. Dalam tahun 1996, bilangan kenderaan berdaftar di negeri Sarawak ialah 41,817 buah; angka yang kecil berbanding dengan 717,245 buah kenderaan berdaftar dalam tahun 2001.

Kebanyakan bandar dan bandar raya utama menawarkan pelbagai perkhidmatan pengangkutan awam, termasuk perkhidmatan bas, teksi dan limosin. Perkhidmatan bas juga terdapat untuk perjalanan dalam negeri Sarawak serta perjalanan antara negara ke Pontianak (Indonesia) dan Brunei. Perjalanan dari Kuching ke Sibu dengan kereta mengambil masa kira-kira enam jam manakala perjalanan dari Kuching ke Miri akan mengambil masa kira-kira 12 jam.